Kohilal, Papisma dilantik ejen pasarkan Kad Istiqamah

20-Okt-2016

PROGRAM kad Setia Pelanggan, kad Istiqamah yang diusahakan oleh Galeri Media Serbanika Sdn Bhd (GMS) telah memasuki fasa yang ke-2 bila beberapa agensi, NGO dan koperasi mula bekerjasama untuk menggunakan dan memasarkan kad tersebut”, jelas Mohd Shuhaimi Embong ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sistem Kad istiqamah.

Beliau memberitahu Harakah, kad istiqamah yang telah dilancarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada hari perasmian Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor pada 4 Jun 2015 yang lalu semakin diterima dan difahami fungsinya.

Pada Sabtu, 15 Oktober 2016 yang lalu, Pengerusi Koperasi Kohilal, Ahmad Osman telah menandatangani perjanjian melanggan 1,000 kad Istiqamah sebagai permulaan mengguna pakai belian produk dan perkhidmatan kohilal melalui konsep pengumpulan mata ganjaran kad Istiqamah untuk belian yang lebih menjimatkan bila pembeli dapat mengumpul mata ganjaran dari setiap pembelian secara online, di myharakahbazaar.com dan di outlet myharakah dan kohilal bagi menggantikan kad kohilal yang sedia ada.

Begitu juga pada awal Oktober yang lepas, beberapa Ahli Lembaga Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah menyatakan minat untuk bekerjasama menggunakan sistem kad Istiqamah yang diperkenalkan ini bagi membantu pelanggannya berjimat dalam berbelanja dengan menukarkan mata ganjaran yang ada kepada produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PASTI.

Kemudian pada 19 Oktober 2016, sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma) yang memiliki Gombak Medical Center (GMC) dan beberapa farmasi juga menandatangani persefahaman (MOU) untuk memasarkan kad Istiqamah ini kepada ahli-ahlinya.

PAPISMA telah diwakili oleh Presidennya, Datuk Suhaini Suratman. Manakala GMS pula diwakili oleh Pengarah Urusan, Dr Rosli Yaacob.

Apa yang menarik, setiap pemegang kad Istiqamah diberikan akses kepada sistem epaper harakah, versi digital akhbar harakah secara otomatik. Terdapat, tiga kategori, iaitu Silver, Gold dan Platinum untuk menghargai pelanggan-pelanggan harakah supaya setia melanggan atau membeli produk-produk Harakah.

Jangan lepaskan peluang ini, keahlian anda amat dihargai. Untuk melanggan layari, myharakahbazaar.com atau menemui ejen-ejen yang telah dilantik. Jika ada masalah, boleh emel pada shuhaimi@harakah.net.my

SALMIYAH HARUN
Harahdaily